Glitter Words

Monday, March 2, 2009

Larangan Mengambil Orang Kafir Sebagai Wali


Firman Allah Taala: "Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barangsiapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah, kecuali kerana (muslihat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksaNya). Dan hanya kepada Allah kembalimu."( Ali Imran, ayat 28)

Sebelum kita mengupas ayat di atas lebih lanjut lagi, marilah kita melihat, apakah sebab ayat ini diturunkan:

Sebab Turun Ayat
Ayat ini turun disebabkan oleh suatu masalah di mana sekumpulan para sahabat nabi menjalinkan hubungan persahabatan dengan orang-orang Yahudi. Persahabatan mereka sangat akrab sekali. Beberapa orang sahabat yang lain cuba menasihati agar berwasapada terhadap Yahudi berkenaan. Kerana dikhuatiri mereka akan disesatkan oleh Yahudi berkenaan. Namun nasihat ini tidak dihiraukan. Malah mereka masih tetap akrab. Lalu turunlah ayat:

Ertinya: Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi wali...

Hukum Dari Ayat Ini
Terdapat beberapa hukum yang daapt kita ambil dari ayat berkenaan, iaitu:

Hukum Pertama: Apakah hukum meminta bantuan orang kafir dalam peperangan?
Terdapat dua pendapat ulamak dalam masalah ini, iaitu:

1. Jumhur ulamak yang terdiri dari Syafi'i, Hanbali dan Hanafi. Mereka mengatakan bahawa meminta bantuan dari orang-orang kafir dalam peperangan dibolehkan, tetapi dengan 2 syarat, iaitu:
Syarat pertama: Bantuan tersebut memang benar-benar diperlukan.
Syarat kedua: Berkeyakinan terhadap kesetiaan orang-orang kafir tersebut terhadap tentera Islam.

Apakah alasan dari pendapat jumhur ulamak ini? Mereka beralasan bahawa Nabi Muhamad s.a.w. pernah menggunakan Yahudi Qainuqa' dalam peperangan, bahkan mereka telah diberi habuan rampasan perang. Di lain ketika Nabi menggunakan Safwan bin Umaiyah ketika menentang kabilah Hawazin. Ini membuktikan bahwa meminta bantuan mereka dalam peperangan dibolehkan.

2. Mazhab Maliki. Mereka berpendapat bahawa meminta bantuan orang kafir dalam peperangan adalah tidak dibenarkan.

Alasan mazhab ini ialah, larangan berbuat demikian adalah bersesuaian dengan zahir ayat al-Quran:
Ertinya: Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi wali...

Mazhab ini juga menggunakan kisah Ubadah bi Shomit yang menyebabkan ayat di atas diturunkan.

Selain itu, mereka berhujah dengan Hadis Nabi riwayat Aisyah, di mana seorang lelaki musyrik yang gagah dan tangkas datang kepada Nabi Muhamad s.a.w. Ketika itu peperangan Badar sedang tercetus. Lelaki tadi meminta izin dari Nabi untuk ikut serta dalam peperangan tersebut. Nabi bersabda:
"Kembalilah, aku sekali-kali tidak akan meminta bantuan dari seorang musyrik."

Jawapan jumhur ulamak terhadap hujah mazhab Maliki:
1. Hujah yang digunakan oleh mazhab Maliki telah dinasakhkan oleh perbuatan Nabi sendiri.
2. Ataupun, boleh jadi hujah tersebut tidak dinasakhkan tetapi ketika itu nabi tidak memerlukan bantuan orang kafir. Atau berkemungkinan tiada kepercayaan terhadap kesetiaan orang kafir berkenaan.


Hukum Kedua: Taqiyah
Apakah itu taqiyah yang tercantum di ayat:
"... .kecuali kerana (muslihat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka."?

Maknanya ialah bahawa seseorang mengucapkan perkataan dengan lidahnya, sedang hatinya tetap teguh dengan keimanan. Definasi ini diberikan oleh Ibnu Abbas r.a.

Sebahagian ulamak mengatakan taqiyah ialah memelihara diri dan harta benda dari kemusnahan musuh dengan cara menzahirkan apa yang mereka mahu tetapi tidak dengan keyakinan hati.

Apakah hukumnya?
Jelas bahawa ayat di atas membenarkan perlakuan taqiyah demi untuk memelihara diri dari kezaliman. Terdapat ayat lain yang semakna dengannya iaitu:
Ertinya: Barangsiapa yang kafir kepada Allah, sesudah ia beriman (maka ia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir, padahal hatinya tetap tenang dan beriman. (al-Nahl, ayat 106)

Dan, walaubagaimanapun taqiyah bukanlah suatu perkara yang wajib dilakukan. Ia adalah bentuk keringan (rukhsah) yang diberikan oleh Allah. Ketika seseorang itu dipaksa (dengan ancaman kemusnahan) untuk menjadi kafir, dia boleh memilih antara berbuat taqiyah (melafazkan kata kufur tetapi hatinya tetap beriman) ataupun tetap tidak berganjak sehingga dirinya terbunuh. Dan yang kedua ini adalah lebih afdhal.

Hukum Ketiga: Menyerahkan kepimpinan kepada orang kafir, serta mempergunakannya dalam semua urusan kaum muslimin.

Berdasarkan ayat:
"Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang kafir menjadi wali .." mengambil orang kafir sebagai pemimpin atau menguruskan urusan kaum muslimin adalah tidak dibenarkan. Begitu juga mengambil mereka sebagai pekerja atau pelayan. Samalah halnya kita tidak boleh menghormati atau memuliakan mereka di majlis, atau berdiri ketika mereka datang. Kerana perbuatan ini merupakan penghormatan kepada mereka. Bukankah kita diperintahkan agar merendahkan mereka, firman Allah Taala:
"Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis." (al-Taubah, ayat 28)

Hukum Keempat: Hukum berpura-pura dengan menunjukkan kebaikkan/sokongan kepada penjahat. Ini merupakan muslihat dan diplomasi.

Perbuatan ini adalah dibenarkan. Rasulullah pernah melakukannya sebagaimana yang tercantum di dalam sabdanya:
"Kami tersenyum manis kepada suatu kaum, padahal hati kami melaknat mereka."

Walaubagaimanapun ia tidak boleh sampai ke peringkat boleh memudaratkan orang lain atau menyalahi dasar-dasar ajaran Islam.

Rujukan

Al-Quran
Tafsir Ayatil Ahkam -Ali al-Shabuni

No comments:

Post a Comment