Wednesday, March 10, 2010

Isu ' Kalimah Allah '


Hujah Yang Tidak Menyokong Penggunaan Kalimah Allah Bagi Golongan Kristian

Hujah 1 .

Di dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah.

Untuk memahami dengan baik ayat-ayat al-Qur’an berkaitan nama Allah, perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam al-Qur’an ada dua bentuk penggunaan perkataan Allah, pertama yang umum merujuk kepada maknanya dari segi bahasa; kedua yang khusus merujuk kepada penggunaannya secara teknikal (istilahi). Hal ini tidak ekslusif pada kalimah Allah sahaja tetapi juga kalimah-kalimah lain seperti solat, bahkan kufur juga. Penggunaan yang umum biasanya merujuk kepada masyarakat bukan Islam. Sedangkan penggunaan yang khusus merujuk kepada pemahaman masyarakat Islam yang telah dibentuk akidah mereka.

Antara dalil Quran yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah ialah dari Surah (al-A’raaf: 180 bermaksud

Allah telah menegaskan di dalam Kitabnya yang mulia: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

(al-A’raaf: 180)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa pendapat ulama tentang maksud mulhid:

Berkata Mujahid: Mulhid ialah orang yang menamakan Allah sebagai bapa dan berhala-berhala mereka sebagai tuhan-tuhan dan seumpamanya.

Berkata Ibnu Abbas makna (Yulhidun) ialah mendustai.

Berkata Qatadah: Maknanya mensyirikkan Allah.

Berkata al Khattabi: Salah dalam menamakan Allah dan menyimpang dari nama-Nya yang sebenar adalah Mulhid. (Al Bahr al Muhit fi al Tafsir jld 5 H: 232)

Maksud ayat ini, Allah Yang Maha Suci, bukan yang lain-Nya, mempunyai nama-nama yang sebaik-baiknya dan seagung-agungnya bagi menunjukkan kepada sebaik-baik dan semulia-mulia nama-Nya.

Merujuk kepada ayat-ayat di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa nama-nama Allah, apatah lagi kalimah Allah itu sendiri sebagai nama yang khusus bagi Allah SWT bukanlah boleh digunakan sewenang-wenangnya dan tanpa batasan.

Hujah 2 .

Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam

Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti.

Hujah 3.

Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik

Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain.

Hujah 4.

Mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

Orang Kristian telah memperjuangkan isu ini dengan bersungguh-sungguh dan mereka amat gembira apabila keputusan mahkamah tinggi memihak kepada mereka, sebahagiannya dikeranakan wujudnya perbalahan di kalangan ilmuwan Islam sendiri. Kemenangan ini bagi mereka menunjukkan kebenaran dakwaan mereka bahawa semua agama pada hakikatnya sama, menyembah Tuhan yang sama. Maka kebenaran menggunakan nama Allah akan menjadi satu pencapaian besar bagi orang Kristian. Hakikatnya ia akan memudahkan lagi proses kristianisasi orang-orang Islam. Kristianisasi ini walaupun tidak dibenarkan dari segi undang-undang tetapi telah berjaya memurtadkan ramai golongan remaja di negara ini.

Bagi umat Islam ia adalah satu kerugian yang sangat besar. Islam tidak akan rugi, berkurang atau rendah kerana hal ini tetapi umat Islam akan semakin terhimpit. Kefahaman masyarakat terhadap akidah Islam akan semakin menipis. Kekeliruan akan semakin merajalela. Kerana dari bahasa pandangan alam akan berubah.

Oleh itu seharusnya kita terus menolak sekeras-keras nya hal ini kerana ia akan memberikan mudarat yang besar dalam masyarakat islam hari ini bertepatan dengan apa yang di ambil dari beberapa kaedah fiqh (الضرر يزال) bererti setiap kemudharatan itu dihilangkan dan kaedah ( الضرر يدفع بقدر الإمكان ) yang bermaksud Kemadharatan itu sedapat mungkin harus ditangkis.

Beberapa mudharat ke atas umat Islam daripada penggunaan kalimah Allah bagi agama Kristian:


i. Kalimah Allah akan didefinisikan dengan pelbagai makna antaranya konsep triniti tersebut dalam kamus-kamus bahasa Melayu yang akan datang. Kamus-kamus antarabangsa juga akan mengubah definisi iaitu kalimah Allah diguna oleh orang-orang Kristian Arab, dan Yahudi Arab zaman dahulu, dan orang-orang Kristian Indonesia dan Malaysia secara meluas.


ii. Umat Islam kena lebih berhati apabila membaca atau ’searching’ melalui internet. Kewujudan kalimah Allah dalam artikel berbahasa Melayu, tidak semestinya membicarakan Allah Yang Maha Suci.


iii. Akan ada mereka yang mendekati orang-orang Islam khususnya remaja atas nama ‘Allah’, tapi membawa kefahaman yang ‘tidak suci’.


iv. Akan ada lagu yang bersifat ketuhanan, tetapi yang dimaksudkan ialah konsep Triniti.


v. Masyarakat yang akan dicelarukan atau tercelaru sehinggakan merasakan agama-agama tersebut hanya satu perbezaan mazhab semata-mata.


Hujah 5 .

Menjaga kemaslahatan.

Dalam keadaan umat islam di Malaysia semakin parah dengan gejala murtad, seharusnya tidak lah kita membuka peluang yang lebih besar yang akan lebih membawa kepada kebinasaan umat dan agama islam itu sendiri.demi menjaga kemaslahatan umat islam di Negara ini kite haruslah terus menolak habis-habisan kerna di takuti selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi.dan natijah dari itu islam di Negara ini akan mula mundar mandir dan masyarakat akan keliru dan celaru dengan apa itu islam yang sebenar.mana yang hakiki dan mana yang kristian.oleh itu sebelum menjadi lebih parah seharusnya hal ini patut dibendung sepertimana pepatah arab (alwikayah khairul minalilaj ) mencegah lebih baik dari mengubati.

Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, kami cenderung untuk bersetuju larangan patut dibuat oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) .Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan. Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.

Islam juga menyuruh kita memelihara 5 perkara penting dalam agama ( Maqosid syaria’ah) dan yang pertama daripadanya adalah menjaga agama.


Hujah 6 .

Melibatkan adab kita dengan Allah Rabbul Jalil.

Jika kita tidak berhati-hati kita boleh tergelincir hingga berlaku kurang beradab dan hormat kepada Allah, Tuhan sekelian alam.

Rasulullah SAW ada berpesan dalam suatu hadis yang dianggap antara hadis-hadis induk dalam Islam bahawa, Perkara yang Halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas. Dan di antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang Syubhah yang tidak diketahui hakikatnya oleh kebanyakan manusia. Dan sesiapa yang menjauhi perkara Syubhah maka dia telah benar-benar menjaga kesucian agamanya dan maruahnya. Seumpama pengembala yang membawa ternaknya ke sempadan kawasan larangan. Sangat dibimbangi akan termasuk ke dalamnya. (riwayat Imam Bukhari dan selainnya serta termasuk dalam himpunan Hadis 40 oleh Imam al-Nawawi)

Hujah 7 .

Memberi kesan kepada tauhid ulihiaah .

Mereka juga mendakwa ALLAH yang membenarkan kafir menggunakan nama ALLAH. Mereka rujuk kepada surah Al Ankabut: 63 dan surah Az Zukhruf : 67, dimana ALLAH berfriman kepada Nabi, “kalau kamu bertanya keda kafir-kafir itu siapa yang mencipta mereka, siapa yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, maka nescaya mereka menjawab ALLAH”. Berdasarkan ayat-ayat ini, mereka mendakwa ALLAH beri kebenaran untuk mereka menggunakan nama ALLAH.

Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, seorang penganut agama Budha pernah berkata semasa ditanya komen beliau mengapa tanah di Genting boleh runtuh, mendiang Tan Sri menyatakan, “ini Tuhan ALLAH punya kerja!”. Pengakuan oleh kafir bahawa ALLAH Maha Pencipta, Maha Peruntuh, Maha Penumbuh, Yang menghidupkan, Yang membinasakan, Yang mematikan dan lain-lain disebut sebagai pengakuan ALLAH dalam bentu rububiyah, iaitu ALLAH dalam bentuk sifat. Tetapi dalam bentuk uluhiyyah, dalam bentuk I’tiqad, kafir-kafir ini masih menyembah berhala, patung dan lain-lain. Itulah maksud ayat tersebut, bukan bermaksud mereka boleh menggunakan nama ALLAH sebagai Tuhan mereka.

Hujah 8 .

Satu agenda halus (kristianisasi)

Apakah pernah kita bertanya satu soalan yang sangat asas, tanyalah kepada kristian disini yang beriya-iya mahu mengguna nama ALLAH sebagai nama tuhan mereka, apakah sebenarnya tuhan kamu. Bukankah kepercayaan kamu adalah kepada Jesus, tuhan yang menjelmakan dirinya dalam bentuk anaknya dengan tiupan roh suci. Mengapa nama tuhan kamu Jesus dalam bahasa Inggeris dan lain-lain, tetapi untuk bahasa Melayu, tulisan versi Melayu, dihadapan orang melayu, nama tuhan kamu tiba-tiba bertukar menjadi ALLAH! Tidakkah ini suatu kepelikan?

Sedangkan Reverend Albert Mohler, seorang paderi kanan kristian di Amerika, menolak cadangan oleh Paderi Tiny Muskin dari Belanda yang mencadangkan supaya nama ALLAH diguna sebagai gantinama tuhan. Dan cadangan Paderi Tiny Muskin menerima bantahan besar-besaran oleh masyrakat Euro-Amerika. Tetapi mengapa di Malaysia ini kristian berkeras mahu mengguna nama ALLAH sebagai gantinama tuhan? Sudah tentu ada udang dibalik batu, ada agenda halus yang sedang disusun. Mereka berjaya melakukannya di Indonesia, mereka sedang cuba melakukannya di Malaysia.

Cuma kita sedar kumpulan ini hanya memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara arab dan kini Malaysia. Tahukah anda apa sebabnya berlaku demikian?. Fikirkan... diharap kita semua sedar strategi di sebaliknya. Apakah nanti suatu hari mereka akan menuntut, atas nama hak asasi kemanusiaan, supaya Surah Al Ikhlas tidak lagi dibaca, kerana mngguris perasaan kaum kristian yang mempercayai tuhan ada anak, sedangkan surah itu menegaskan Tuhan itu Satu!!

Hujah 9 .

Pandangan adat setempat.

Golongan penyokong Kristian ini mendakwa orang Kristian ‘arab pun menggunakan nama ALLAH sebagai nama Tuhan. Saya menegaskan bahawa dalam bahasa ‘arab, memang mereka hanya tahu perkataan Tuhan itu adalah ALLAH. Tidak ada ganti lain bagi perkataan God melainkan ALLAH. Ini kerana memang sejak Nabi Adam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad, masyarakat ‘arab hanya tahu nama ALLAH sebagai Tuhan. Malahan kaum Yahudi dan Kristian memang asal agama mereka pun mempertuhankan ALLAH yang Satu. Itu yang mereka faham.

Tidak semestiya orang ‘arab Kristian menggunakannya maka kristian di Malaysia juga boleh menggunakannya. Dari segi prinsip ‘uruf al balad, pemahaman perkataan itu adalah berbeza menurut masyarakat yang menggunakannya. Contohnya kalau kita ke Jakarta, kita akan dengar orang disana menggunakan perkataan “butuh” – “Saya membutuhkan bapak!”. Bagi kita orang Melayu disini sudah tentu terkejut, kerana itu perkataan carut bagi kita; tetapi bagi masyarakat sana, perkataan itu bermakna “saya memerlukan bapak”. Maka tidak bermakna perkataan itu telah digunakan beribu tahun oleh bangsa Indonesia, maka kita disini pun mahu menggunakannya dalam bentuk yang sama. bagi Indonesia dan Malaysia.

Begitulah nama ALLAH, bagi masyarakat ‘arab ianya dari segi istilah bahasa membawa makna tuhan, tetapi bagi kita di Malaysia ia membawa makna Tuhan yang khusus, Tuhan yang Satu yang kita sembah. Dalam menyokong hujah ini bertepatan lah dengam apa yang dibawa oleh islam yang mana menyatakan Uruf merupakan suatu yang boleh diguna pakai untuk dijadikan hukuman.Dan kaedah juga mengatakan bahawa ( العادة محكمة ) adat kebiasaan dapat dijadikan hukum

Hujah 10.

Sudah ada fatwa mengenai pengharama nya.

Hujah dan dalil berkaitan isu ini sebenarnya bukanlah urusan orang awam dan mereka yang bukan berkeahlian. Oleh itu kita harus bersyukur kerana sebenarnya sudah ada suatu keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu ini yang bertarikh 7 Mei 2008. Keputusan fatwa ini jelas mengkhususkan penggunaan kalimah Allah bagi orang Islam.

Penghujahan Dari Sudut Perundangan Malaysia

Dari segi undang-undang perlembagaan dan sivil pula, Perkara 11(4) telah membolehkan negeri-negeri di Malaysia meluluskan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama di kalangan orang Islam. telah di nyatakan Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.

PERKARA 11. KEBEBASAN UGAMA.

(1) Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.

(2) Tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika pendapatan dari cukai itu adalah diuntukkan khas sama ada kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud-maksud sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan ugama adalah berhak -

(a) menguruskan hal-ehwal ugamanya sendiri;

(b) menubuh dan menyenggara yayasan-yayasan bagi maksud-maksud ugama atau khairat; dan

(c) memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

No comments:

Post a Comment