Glitter Words

Sunday, October 3, 2010

Penggunaan kalimah Allah Bagi Golongan Bukan Islam

بسم الله الرحمن الرحيم

Perbincangan Ilmiah

“ Penggunaan kalimah Allah Bagi Golongan Bukan Islam ”

Dibentangkan Oleh :

1)Mohd Toriq bin Hj Sulaiman

2)Muhamad Hatim bin Othman

Tempat : D-1-2

Masa : 9.00 pm

Tarikh : 7 Mac 2010

Pengenalan

Sepertimana yang kita ketahui , Zaman ini adalah zaman orang menuntut hak dan kebebasan. Di sana sini riuh rendah golongan itu dan ini menuntut apa yang didakwa hak mereka, yang mesti diserahkan dan dibebaskan dari belenggu itu dan ini. Baru-baru ini Negara kita Malaysia telah kecoh dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan islam. Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya . Perkara ini seterusnya telah menjadikan banyak pihak ingin bersuara antaranya Ahli-ahli agama ,ahli poliktik dan sebagainya.

Setelah isu ini dibahas hampir dua tahun masih ramai lagi yang keliru tentang penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Antara sebabnya ialah wujudnya pandangan yang diberikan oleh beberapa cendekiawan yang digelar ulama’ yang mengatakan bahawa terdapat dalil dalam al-Qur’an yang membenarkan hal tersebut. Dan tiadanya dalil yang menyokong larangan penggunaan oleh bukan Islam.

Sebelum pergi lebih jauh perlu difahami terlebih dahulu maksud persoalan di atas. Ia bukan persoalan tentang siapakah Tuhan orang bukan Islam, kerana jelas bagi kita Tuhan bagi semua umat manusia hanya satu iaitu Allah. Ia juga bukan berkaitan dengan orang Arab bukan Islam di negara-negara Arab kerana persoalan ini muncul dalam konteks Malaysia, dan hanya relevan dengan negara-negara bukan Arab. Maka maksud persoalan di atas adalah merujuk kepada orang bukan Islam di Malaysia bukan di negara-negara Arab. Perbezaan konteks ini sangat penting kerana ia juga bermakna perbezaan bahasa yang digunakan oleh bangsa yang berlainan.

Perlu juga ditegaskan dengan kalimat ‘menggunakan’ di atas yang dimaksudkan adalah menamakan atau menggunakan nama Tuhan orang Islam bagi merujuk Tuhan mereka. Di sini dapat disimpulkan bahawa faham pluralisme agama terkandung dalam usaha ini. Apa yang menjadi persoalan di sini adalah penggunaan istilah yang sama dan pemberian nama yang sama bagi Tuhan yang berlainan.

Oleh itu , dalam makalah ini, insyallah akan kami nyatakan hujah-hujah golongan yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan islam ,hujah golongan yang menentang sama sekali penggunaan kalimah Allah oleh bukan islam dan seterusnya apa-apa yang berkaitan dengan isu ini.

Dalil Yang Menyokong Penggunaan Kalimah Allah Oleh Bukan Islam

Dalam hal kefahaman hukum dari teks dan nas ini, ia tergolong dalam kategori hukum zhonni. Hasilnya, ilmuan berbeza pendapat dalam menentukan hukum yang paling tepat. Namun begitu, menurut penelitian saya, dari PERSPEKTIF HUKUM AQIDAH yang berdasarkan kepada teks, hukum yang lebih kukuh adalah HARUS ATAU DIBENARKAN bagi Kristian atau lain-lain penganut agama lain untuk menggunakan nama ALLAH bagi merujuk kepada Tuhan.

Ulama yang mengharuskan bersandar kepada dalil dan teks berikut, antaranya :

Dalil daripada Al-Quran

  • Firman Allah surah al-Ankabut ayat 63 :

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Ertinya : Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: ""Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?"" Tentu mereka akan menjawab: ""Allah"". Katakanlah: ""Segala puji bagi Allah"", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami (nya)

Imam Fakhruddin Ar-Razi berkata ketika mengulas ayat dari surah Yunus dan Ankabut ini :

هذا يدل على أن المخاطبين بهذا الكلام كانوا يعرفون الله ويقرون به

Ertinya : Ini menunjukkan mereka yang ditujukan pertanyaan dan kata-kata ini ( iaitu puak kafir musryik), mereka telah pun sentiasa mengetahui tentang Allah dan sentiasa mengiktirafNya (sebagai tuhan). (Rujuk Tafsir Al-Kabir, 17/86) .

  • Firman Allah surah Al-An'am ayat 136 :

وَجَعَلُواْ لِلّهِ مِمِّا ذَرَأَ مِنَ الْحَرْثِ وَالأَنْعَامِ نَصِيبًا فَقَالُواْ هَـذَا لِلّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَـذَا لِشُرَكَآئِنَا فَمَا كَانَ لِشُرَكَآئِهِمْ فَلاَ يَصِلُ إِلَى اللّهِ وَمَا كَانَ لِلّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَى شُرَكَآئِهِمْ سَاء مَا يَحْكُمُونَ

Ertinya : Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bahagian dari tanaman dan ternak yang telah diciptakan Allah, lalu mereka berkata sesuai dengan persangkaan mereka: ""Ini untuk Allah dan ini untuk berhala-berhala kami"". Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah; dan saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, maka sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka. Amat buruklah ketetapan mereka itu.

Sahabat besar nabi, Imam Ibn ‘Abbas r.a ketika mengulas ayat ini berkata :

من إيمانهم إذا قيل لهم من خلق السماء ؟ ومن خلق الأرض ؟ ومن خلق الجبال ؟ قالوا : الله , وهم مشركون

"Dari keyakinan dan iman puak-puak kafir ini apabila ditanya siapa yang menciptakan langit?, dan siapa yang menciptakan bumi?, dan siapa yang menciptakan gunung?. Mereka telah menjawab : ALLAH, namun begitu mereka mensyirikkan

. Ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).

Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah.

Dalil daripada sunnah

Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Hujah (yang mengharuskan) daripada Logik Akal dan Bahasa

1. Mereka yang mengharuskan penggunaan kalimah ini di kalangan bukan Islam berhujjah dengan menyatakan bahawa lafaz Allah sudah pun wujud dan digunakan sebelum kedatangan Islam. Ini berdasarkan kepada nama bapa Rasulullah s.a.w. sendiri yang bernama Abd Allah.


2. Lafaz Allah juga digunakan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani sebelum kedatangan Islam lagi. Ini berdasarkan dalil al-Quran menerusi surah al-Taubah (9:30) yang mengakui bahawa orang-orang Yahudi telah menyatakan 'Uzair itu anak Allah. Manakala bagi orang-orang Nasrani pula mengakui bahawa al-Masih (Isa a.s) adalah anak Allah.


3. Lafaz Allah juga wujud dan turut digunakan di dalam kitab Bible berbahasa Arab. (al-Kitab al-Muqaddas). Sebagaimana yang tertulis di dalam beberapa tempat. Antaranya dalam Perjanjian Lama, alTaqwim 1:1. yang jelas menyebut dengan jelas:

في البدء خلق الله السموات والارض


Atas alasan inilah mereka mendakwa lafaz Allah bukan milik eksklusif untuk umat Islam sahaja.


4. Hujah mereka yang mengatakan bahawa lafaz Allah ini berasal dan hampir sama bunyinya dari kalimah Eloh yang merupakan panggilan terhadap Tuhan dalam bahasa Yahudi.

Kebaikan dan keburukan penggunaan membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh org bukan Islam

Kebaikan:

1) Memberikan kebebasan beragama kepada orang bukan islam sebagai dianjurkan dalam Islam.

2) Sebagai suatu jalan dakwah supaya mereka lebih mendekati dan mempercayai adanya Allah yang Esa.

3) Memberi suatu gambaran yang baik terhadap agama islam yang tidak menyekat kebebasan agama lain.

Keburukan:

1) Umat Islam kena lebih berhati apabila membaca atau ’searching’ melalui internet. Kewujudan kalimah Allah dalam artikel berbahasa Melayu, tidak semestinya membicarakan Allah Yang Maha Suci.

2) Akan ada mereka yang mendekati orang-orang Islam khususnya remaja atas nama ‘Allah’, tapi membawa kefahaman yang ‘tidak suci’.

3) Akan ada lagu yang bersifat ketuhanan, tetapi yang dimaksudkan ialah konsep Triniti.

4) Masyarakat yang akan dicelarukan atau tercelaru sehinggakan merasakan agama-agama tersebut hanya satu perbezaan mazhab semata-mata.

5) Membuka ruang kepada gerakan islam plural sebagaimana yang dibawa oleh agama bahai bahawa semua agama sama menyembah Tuhan yang satu.

6) Penghinaan terhadap kalimah Allah yang digunakan oleh islam seperti memakai rantai yg menulis kalimah Allah dan membawa masuk ke tempat tidak suci.

7) Memudahkan gerakan kristianisasi untuk menyebarkan agama kristian ketika aqidah umat islam hari ini semakin rapuh.

Hujah Yang Tidak Menyokong Penggunaan Kalimah Allah Bagi Golongan Kristian

Hujah 1 .

Di dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah.

Untuk memahami dengan baik ayat-ayat al-Qur’an berkaitan nama Allah, perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam al-Qur’an ada dua bentuk penggunaan perkataan Allah, pertama yang umum merujuk kepada maknanya dari segi bahasa; kedua yang khusus merujuk kepada penggunaannya secara teknikal (istilahi). Hal ini tidak ekslusif pada kalimah Allah sahaja tetapi juga kalimah-kalimah lain seperti solat, bahkan kufur juga. Penggunaan yang umum biasanya merujuk kepada masyarakat bukan Islam. Sedangkan penggunaan yang khusus merujuk kepada pemahaman masyarakat Islam yang telah dibentuk akidah mereka.

Antara dalil Quran yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah ialah dari Surah (al-A’raaf: 180)

Allah telah menegaskan di dalam Kitabnya yang mulia: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

(al-A’raaf: 180)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa pendapat ulama tentang maksud mulhid:

Berkata Mujahid: Mulhid ialah orang yang menamakan Allah sebagai bapa dan berhala-berhala mereka sebagai tuhan-tuhan dan seumpamanya.

Berkata Ibnu Abbas makna (Yulhidun) ialah mendustai.

Berkata Qatadah: Maknanya mensyirikkan Allah.

Berkata al Khattabi: Salah dalam menamakan Allah dan menyimpang dari nama-Nya yang sebenar adalah Mulhid. (Al Bahr al Muhit fi al Tafsir jld 5 H: 232)

Maksud ayat ini, Allah Yang Maha Suci, bukan yang lain-Nya, mempunyai nama-nama yang sebaik-baiknya dan seagung-agungnya bagi menunjukkan kepada sebaik-baik dan semulia-mulia nama-Nya.

Merujuk kepada ayat-ayat di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa nama-nama Allah, apatah lagi kalimah Allah itu sendiri sebagai nama yang khusus bagi Allah SWT bukanlah boleh digunakan sewenang-wenangnya dan tanpa batasan.

Hujah 2 .

Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam

Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti.

Hujah 3.

Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik

Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain

Hujah 4.

Mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

Orang Kristian telah memperjuangkan isu ini dengan bersungguh-sungguh dan mereka amat gembira apabila keputusan mahkamah tinggi memihak kepada mereka, sebahagiannya dikeranakan wujudnya perbalahan di kalangan ilmuwan Islam sendiri. Kemenangan ini bagi mereka menunjukkan kebenaran dakwaan mereka bahawa semua agama pada hakikatnya sama, menyembah Tuhan yang sama. Maka kebenaran menggunakan nama Allah akan menjadi satu pencapaian besar bagi orang Kristian. Hakikatnya ia akan memudahkan lagi proses kristianisasi orang-orang Islam. Kristianisasi ini walaupun tidak dibenarkan dari segi undang-undang tetapi telah berjaya memurtadkan ramai golongan remaja di negara ini.

Bagi umat Islam ia adalah satu kerugian yang sangat besar. Islam tidak akan rugi, berkurang atau rendah kerana hal ini tetapi umat Islam akan semakin terhimpit. Kefahaman masyarakat terhadap akidah Islam akan semakin menipis. Kekeliruan akan semakin merajalela. Kerana dari bahasa pandangan alam akan berubah.

Oleh itu seharusnya kita terus menolak sekeras-keras nya hal ini kerana ia akan memberikan mudarat yang besar dalam masyarakat islam hari ini bertepatan dengan apa yang di ambil dari beberapa kaedah fiqh (الضرر يزال) bererti setiap kemudharatan itu dihilangkan dan kaedah ( الضرر يدفع بقدر الإمكان ) yang bermaksud Kemadharatan itu sedapat mungkin harus ditangkis.

Beberapa mudharat ke atas umat Islam daripada penggunaan kalimah Allah bagi agama Kristian:


i. Kalimah Allah akan didefinisikan dengan pelbagai makna antaranya konsep triniti tersebut dalam kamus-kamus bahasa Melayu yang akan datang. Kamus-kamus antarabangsa juga akan mengubah definisi iaitu kalimah Allah diguna oleh orang-orang Kristian Arab, dan Yahudi Arab zaman dahulu, dan orang-orang Kristian Indonesia dan Malaysia secara meluas.


ii. Umat Islam kena lebih berhati apabila membaca atau ’searching’ melalui internet. Kewujudan kalimah Allah dalam artikel berbahasa Melayu, tidak semestinya membicarakan Allah Yang Maha Suci.


iii. Akan ada mereka yang mendekati orang-orang Islam khususnya remaja atas nama ‘Allah’, tapi membawa kefahaman yang ‘tidak suci’.


iv. Akan ada lagu yang bersifat ketuhanan, tetapi yang dimaksudkan ialah konsep Triniti.


v. Masyarakat yang akan dicelarukan atau tercelaru sehinggakan merasakan agama-agama tersebut hanya satu perbezaan mazhab semata-mata.

Hujah 5 .

Menjaga kemaslahatan.

Dalam keadaan umat islam di Malaysia semakin parah dengan gejala murtad, seharusnya tidak lah kita membuka peluang yang lebih besar yang akan lebih membawa kepada kebinasaan umat dan agama islam itu sendiri.demi menjaga kemaslahatan umat islam di Negara ini kite haruslah terus menolak habis-habisan kerna di takuti selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi.dan natijah dari itu islam di Negara ini akan mula mundar mandir dan masyarakat akan keliru dan celaru dengan apa itu islam yang sebenar.mana yang hakiki dan mana yang kristian.oleh itu sebelum menjadi lebih parah seharusnya hal ini patut dibendung sepertimana pepatah arab (alwikayah khairul minalilaj ) mencegah lebih baik dari mengubati.

Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, kami cenderung untuk bersetuju larangan patut dibuat oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) .Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan. Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.

Islam juga menyuruh kita memelihara 5 perkara penting dalam agama ( Maqosid syaria’ah) dan yang pertama daripadanya adalah menjaga agama.

Hujah 6 .

Melibatkan adab kita dengan Allah Rabbul Jalil.

Jika kita tidak berhati-hati kita boleh tergelincir hingga berlaku kurang beradab dan hormat kepada Allah, Tuhan sekelian alam.

Rasulullah SAW ada berpesan dalam suatu hadis yang dianggap antara hadis-hadis induk dalam Islam bahawa, Perkara yang Halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas. Dan di antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang Syubhah yang tidak diketahui hakikatnya oleh kebanyakan manusia. Dan sesiapa yang menjauhi perkara Syubhah maka dia telah benar-benar menjaga kesucian agamanya dan maruahnya. Seumpama pengembala yang membawa ternaknya ke sempadan kawasan larangan. Sangat dibimbangi akan termasuk ke dalamnya. (riwayat Imam Bukhari dan selainnya serta termasuk dalam himpunan Hadis 40 oleh Imam al-Nawawi)

Hujah 7 .

Memberi kesan kepada tauhid ulihiaah .

Mereka juga mendakwa ALLAH yang membenarkan kafir menggunakan nama ALLAH. Mereka rujuk kepada surah Al Ankabut: 63 dan surah Az Zukhruf : 67, dimana ALLAH berfriman kepada Nabi, “kalau kamu bertanya keda kafir-kafir itu siapa yang mencipta mereka, siapa yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, maka nescaya mereka menjawab ALLAH”. Berdasarkan ayat-ayat ini, mereka mendakwa ALLAH beri kebenaran untuk mereka menggunakan nama ALLAH.

Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, seorang penganut agama Budha pernah berkata semasa ditanya komen beliau mengapa tanah di Genting boleh runtuh, mendiang Tan Sri menyatakan, “ini Tuhan ALLAH punya kerja!”. Pengakuan oleh kafir bahawa ALLAH Maha Pencipta, Maha Peruntuh, Maha Penumbuh, Yang menghidupkan, Yang membinasakan, Yang mematikan dan lain-lain disebut sebagai pengakuan ALLAH dalam bentu rububiyah, iaitu ALLAH dalam bentuk sifat. Tetapi dalam bentuk uluhiyyah, dalam bentuk I’tiqad, kafir-kafir ini masih menyembah berhala, patung dan lain-lain. Itulah maksud ayat tersebut, bukan bermaksud mereka boleh menggunakan nama ALLAH sebagai Tuhan mereka.

Hujah 8 .

Satu agenda halus (kristianisasi)

Apakah pernah kita bertanya satu soalan yang sangat asas, tanyalah kepada kristian disini yang beriya-iya mahu mengguna nama ALLAH sebagai nama tuhan mereka, apakah sebenarnya tuhan kamu. Bukankah kepercayaan kamu adalah kepada Jesus, tuhan yang menjelmakan dirinya dalam bentuk anaknya dengan tiupan roh suci. Mengapa nama tuhan kamu Jesus dalam bahasa Inggeris dan lain-lain, tetapi untuk bahasa Melayu, tulisan versi Melayu, dihadapan orang melayu, nama tuhan kamu tiba-tiba bertukar menjadi ALLAH! Tidakkah ini suatu kepelikan?


Sedangkan Reverend Albert Mohler, seorang paderi kanan kristian di Amerika, menolak cadangan oleh Paderi Tiny Muskin dari Belanda yang mencadangkan supaya nama ALLAH diguna sebagai gantinama tuhan. Dan cadangan Paderi Tiny Muskin menerima bantahan besar-besaran oleh masyrakat Euro-Amerika. Tetapi mengapa di Malaysia ini kristian berkeras mahu mengguna nama ALLAH sebagai gantinama tuhan? Sudah tentu ada udang dibalik batu, ada agenda halus yang sedang disusun. Mereka berjaya melakukannya di Indonesia, mereka sedang cuba melakukannya di Malaysia.

Cuma kita sedar kumpulan ini hanya memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara arab dan kini Malaysia. Tahukah anda apa sebabnya berlaku demikian?. Fikirkan... diharap kita semua sedar strategi di sebaliknya. Apakah nanti suatu hari mereka akan menuntut, atas nama hak asasi kemanusiaan, supaya Surah Al Ikhlas tidak lagi dibaca, kerana mngguris perasaan kaum kristian yang mempercayai tuhan ada anak, sedangkan surah itu menegaskan Tuhan itu Satu!

Hujah 9 .

Pandangan adat setempat.

Golongan penyokong Kristian ini mendakwa orang Kristian ‘arab pun menggunakan nama ALLAH sebagai nama Tuhan. Saya menegaskan bahawa dalam bahasa ‘arab, memang mereka hanya tahu perkataan Tuhan itu adalah ALLAH. Tidak ada ganti lain bagi perkataan God melainkan ALLAH. Ini kerana memang sejak Nabi Adam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad, masyarakat ‘arab hanya tahu nama ALLAH sebagai Tuhan. Malahan kaum Yahudi dan Kristian memang asal agama mereka pun mempertuhankan ALLAH yang Satu. Itu yang mereka faham.

Tidak semestiya orang ‘arab Kristian menggunakannya maka kristian di Malaysia juga boleh menggunakannya. Dari segi prinsip ‘uruf al balad, pemahaman perkataan itu adalah berbeza menurut masyarakat yang menggunakannya. Contohnya kalau kita ke Jakarta, kita akan dengar orang disana menggunakan perkataan “butuh” – “Saya membutuhkan bapak!”. Bagi kita orang Melayu disini sudah tentu terkejut, kerana itu perkataan carut bagi kita; tetapi bagi masyarakat sana, perkataan itu bermakna “saya memerlukan bapak”. Maka tidak bermakna perkataan itu telah digunakan beribu tahun oleh bangsa Indonesia, maka kita disini pun mahu menggunakannya dalam bentuk yang sama. bagi Indonesia dan Malaysia.

Begitulah nama ALLAH, bagi masyarakat ‘arab ianya dari segi istilah bahasa membawa makna tuhan, tetapi bagi kita di Malaysia ia membawa makna Tuhan yang khusus, Tuhan yang Satu yang kita sembah. Dalam menyokong hujah ini bertepatan lah dengam apa yang dibawa oleh islam yang mana menyatakan Uruf merupakan suatu yang boleh diguna pakai untuk dijadikan hukuman.Dan kaedah juga mengatakan bahawa ( العادة محكمة ) adat kebiasaan dapat dijadikan hukum.

Hujah 10.

Sudah ada fatwa mengenai pengharama nya.

Hujah dan dalil berkaitan isu ini sebenarnya bukanlah urusan orang awam dan mereka yang bukan berkeahlian. Oleh itu kita harus bersyukur kerana sebenarnya sudah ada suatu keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu ini yang bertarikh 7 Mei 2008. Keputusan fatwa ini jelas mengkhususkan penggunaan kalimah Allah bagi orang Islam.

Penghujahan Dari Sudut Perundangan Malaysia

Dari segi undang-undang perlembagaan dan sivil pula, Perkara 11(4) telah membolehkan negeri-negeri di Malaysia meluluskan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama di kalangan orang Islam. telah di nyatakan Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini

PERKARA 11. KEBEBASAN UGAMA.

(1) Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.

(2) Tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika pendapatan dari cukai itu adalah diuntukkan khas sama ada kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud-maksud sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan ugama adalah berhak -

(a) menguruskan hal-ehwal ugamanya sendiri;

(b) menubuh dan menyenggara yayasan-yayasan bagi maksud-maksud ugama atau khairat; dan

(c) memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

Penolakkan Hujah Bagi Golongan Yang Membenarkan Penggunaan Kalimah Allah Oleh Bukan Islam.

Hujah menolak terhadap dalil Al-Quran :

Dalil yang pertama :

Firman Allah surah al-Ankabut ayat 63

Jawapan untuk menolak dalil Al-Quran ini :

Hujah dalil Al-Quran ini tidak dapat diterima pakai kerana ayat di atas adalah uslub mujadalah. Iaitu gaya bahasa perbantahan yang berlaku antara Nabi SAW dengan golongan musyrikin tentang akidah tauhid.

Buktinya Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya berbahas dengan mereka dengan cara yang lebih baik.(al-Ankabut 46)

Jadi, uslub mujadalah tidak sah dipetik sebagai hujah kerana lafaz ini dirakam oleh Allah SWT sebagai pengajaran kepada kita bahawa golongan kafir hanya mahu berbantah-bantah, berdolak-dalik dengan ucapan. Tetapi hakikatnya, pertuturan mereka dipenuhi dengan kalimah dusta terhadap Baginda SAW.

Ternyata pengucapan 'Allah' dalam ayat ini adalah dibuat dengan nada pembohongan semata-mata. Allah SWT sendiri menyifatkan pembohongan mereka (al-Ankabut ayat 61) dengan lafaz : فأنى يؤفكون


Dalil yang kedua :

Firman Allah surah Al-An'am ayat 136

Jawapan untuk menolak dalil Al-Quran ini :

Hujah dalil Al-Quran ini tidak dapat diterima pakai kerana ayat di atas adalah menunjukkan bahawa Allah memurkai mereka puak kaum yang menyekutukan Allah dengan berhala mereka.Bukti Allah swt menyebut dalam ayat ini

“Amat buruklah ketetapan mereka itu” ( سَاء مَا يَحْكُمُونَ)

Dalil yang ketiga :

Firman Allah Surah al-Hajj ayat 40

ولولا دفع الله الناس بعضهم لهدمت صوامع و بيع و صلوات ومساجد يذكر فيها اسم الله كثيرا

Jawapan untuk menolak dalil Al-Quran ini:

Hujah dalil Al-Quran ini tidak dapat diterima pakai kerana ayat di atas sebenarnya menyatakan bahawa hanya semua masjid sahaja yang banyak menyebut nama Allah bukan biara,gereja dan tempat ibadat yahudi seperti mana yang didakwa oleh setengah golongan bahawa semua tempat tersebut menyebut nama Allah berdasarkan dhomir pada ha ( فيها ) merupakan kalimah mufrad merujuk kepada satu kalimah dan dhomir tersebut sesuai kembali kepada masjid sebagaimana yang telah disahkan oleh Lajnah Penafsiran Mushaf.

Hujah menolak terhadap dalil Sunnah :

Dalil Sunnah :

Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah.

Jawapan untuk menolak dalil Al-Quran ini:

Hujah ini tidak dapat diterima kerana pada masa itu Nabi saw saat baru bermulanya perkembangan islam maka Nabi saw lebih bersikap tolenransi dan hikmah untuk mengembangkan ajaran islam serta orang muslimin pada masa itu mempunyai aqidah yang kuat sedangkan pekara tersebut tidak seperti hari ini yang mana aqidah umat islam lemah dan banyak berlaku gejala murtad.

Hujah menolak terhadap dalil akal

Dalil yang pertama :

Dalil akal yang mengatakan harus penggunaan kalimah ini di kalangan bukan Islam kerana sudah pun wujud dan digunakan sebelum kedatangan Islam. Ini berdasarkan kepada nama bapa Rasulullah s.a.w. sendiri yang bernama Abd Allah.

Jawapan untuk menolak dalil akal ini :

Hujah akal ini tidak dapat diterima pakai kerana Bapa Nabi saw adalah beriman dan mentauhidkan Allah kerana ia menganuti agama hanif pada zaman jahiliah iaitu agama Nabi Ibrahim al-Khalil yang tidak melakukan amalan menyembah berhala jadi wajar Bapa Nabi saw mengunakan kalimah Allah tidak seperti kaum musyrikin yang menyekutukan Allah.

Dalil Quran:

Dan jauhkanlah aku (Nabi Ibrahim) dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala. (Ibrahim: 35)

Ibnu Jarir dalam tafsir At-Tobari berkata: "Allah telah memperkenankan doa Nabi Ibrahim untuk anak-cucunya, maka tiada seorang pun dari kalangan zuriatnya yang menyembah berhala".

Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam tafsirnya, Sufyan ibn 'Uyainah r.a ditanya: Adakah terdapat salah seorang daripada zuriat Nabi Ismail a.s yang menyembah berhala?

Beliau menjawab: Tidakkah kamu mendengar firman Allah SWT (bermaksud): Dan jauhkanlah aku (Nabi Ibrahim) dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala. (Ibrahim: 35)

Dalil yang kedua :

Lafaz Allah juga digunakan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani sebelum kedatangan Islam lagi. Ini berdasarkan dalil al-Quran menerusi surah al-Taubah (9:30) yang mengakui bahawa orang-orang Yahudi telah menyatakan 'Uzair itu anak Allah. Manakala bagi orang-orang Nasrani pula mengakui bahawa al-Masih (Isa a.s) adalah anak Allah.

Jawapan untuk menolak dalil akal ini :

Hujah akal ini tidak dapat diterima pakai kerana ulama mufasirin mengatakan di dalam ayat ini, Allah s.w.t menegaskan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani telah memfitnah Allah dengan menyatakan bahawa Allah mempunyai anak iaitu Uzair dan juga al-Masih. Bagi menolak fitnah ini, Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk menyatakan bahawa Allah s.w.t bukanlah seperti yang didakwa oleh orang-orang Yahudi dan nasrani menerusi firman Allah s.w.t. melalui Surah al-Ikhlas

Maka setelah Rasulullah s.a.w membersihkan maksud kalimah dari mulut orang-orang Yahudi dan nasrani, wajarkan Muslim hari ini memberi kebenaran untuk mereka mengguna kembali lafaz suci ini (Allah s.w.t)?

Dalil yang ketiga :

Lafaz Allah juga wujud dan turut digunakan di dalam kitab Bible berbahasa Arab. (al-Kitab al-Muqaddas).

Jawapan untuk menolak dalil akal ini :

Hujah akal ini tidak dapat diterima pakai kerana sebenarnya lafaz Allah juga tidak pernah wujud di dalam bahasa asal penulisan kitab Taurat dan kitab Bible. Sebagaimana yang kita maklum, Kitab Taurat ditulis di dalam bahasa Ibrani (Hebrew) dengan lafaz El,Eloh,Elohim manakala kitab Bible pula ditulis di dalam bahasa Greek (Yunani) dengan lafaz Theos.

Dalil yang keempat :

Hujah mereka yang mengatakan bahawa lafaz Allah ini berasal dan hampir sama bunyinya dari kalimah Eloh yang merupakan panggilan terhadap Tuhan dalam bahasa Yahudi.

Jawapan untuk menolak dalil akal ini :

Hujah akal ini tidak dapat diterima pakai kerana Eloh dari perkataan arab ( aliff ,lam,ha ) sedangkan Allah ( aliff,lam,lam,ha).

Isu Serangan Terhadap Gereja

Sesungguhnya kita dilarang sama sekali untuk menyerang gereja dan rumah ibadat yang lain berdasarkan ayat di bawah

Firman Allah Surah al-Hajj ayat 40:

ولولا دفع الله الناس بعضهم لهدمت صوامع و بيع و صلوات ومساجد يذكر فيها اسم الله كثيرا

Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalamnya..”

Ayat ini menunujukkan bahawasanya Allah swt melarang kita meruntuhkan rumah ibadat agama lain termasuklah juga membakarnya. Perbuatan ini juga turut dilarang dalam peperangan apatah lagi bukan ketika perang.Jadi jelaslah menunjukkan bahawa membakar gereja adalah suatu perbuatan yang dilarang dalam agama islam.

Penutup

Kesimpulannya , memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada penilaian kami , unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat .

Dalam konteks Malaysia menurut apa yang kami fikirkan, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal. Misalnya isu pembakaran gerja dan masjid.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu dari pihak yang bertanggunjawab.

Oleh itu sebagai mahasiswa mahasiswi islam seharusnya kita pilih jalan yang terbaik demi menegakkan Agama Islam itu sendiri , dan masyarakat islam khususnya di Malaysia dan di negara-negara islam lain umumnya.Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment