Glitter Words

Friday, April 15, 2011

Kisah Imam Syafie Menuntut Ilmu



Imam Shafie merupakan salah seorang Imam Mazhab yang empat. Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.

Beliau dilahirkan di Ghazzah , nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Iraq, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Lantaran itu, pada satu hari beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Ia merupakan kali pertama Imam Shafie keluar daripada tempat kelahirannya, Makkah dan mengembara untuk meluaskan ilmu.

Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau terpandang satu Majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu ramai anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah yang tertib, Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Imam Shafie lantas mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya.

Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Shafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Imam Malik bertanya kepada Imam Shafie, “Apakah kamu berasal dari Makkah”. Jawab Imam Shafie, “Benar”. Imam Malik kemudian bertanya, “Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”. Jawab Imam Shafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya”.

Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja”.

Kata Imam Shafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu”.

Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Semenjak peristiwa itu, Imam Shafie dijemput untuk menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta’. Sehingga akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan bersyarah dan mengajar murid-murid yang lain.

Pengajaran:

1.Diperhatikan kehadiran Imam Shafie yang sedikit lewat dalam majlis ilmu Imam Malik telah sedikit sebanyak mengganggu perhatian Imam Malik untuk menyampaikan ilmu sepenuhnya. Lantaran itu, dalam menuntut ilmu sebaik-baiknya biarlah berada di dalam majlis seawal mungkin dan tepat pada masanya kerana sesungguhnya ilmu itu ditunggu dan bukannya menunggu. Hal ini juga dapat mengelak daripada penyampai ilmu dan penerima ilmu yang berada dalam majlis merasa terganggu dengan keterlewatan kita itu.

2. Dalam majlis ilmu, tumpuan perhatian yang sepenuhnya perlu diberikan kepada penyampaian ilmu. Apa sahaja perlakuan yang tidak berkaitan seharusnya dielakkan. Perlakuan Imam Shafie sahaja yang sedang mencatat isi pengajaran kuliah Imam Malik dengan menggunakan lidi dan air liur di atas tapak tangan pun sudah begitu mengganggu tumpuan Imam Malik untuk mengajar apatah lagi sekiranya ada anak-anak murid yang bercakap-cakap atau melakukan hal-hal lain yang tidak berkaitan semasa pengajaran.

3. Seorang pendidik yang baik akan mengenal pasti kebolehan dan keistimewaan anak muridnya dalam mendidik, agar dengan itu proses pendidikan dapat dilakukan dengan tepat, sesuai dengan kebolehan dan keupayaan murid tersebut. Menyedari kemampuan dan keistimewaan Imam Shafie, Imam Malik terus mengajak Imam Shafie ke rumah beliau untuk terus dididik dan dipertajamkan kebolehannya sehingga akhirnya ilmu tersebut dapat dimanfaatkan untuk kebaikan umat.


Nasihat Imam Syafie

Imam al-Syafie tokoh ilmuan yang terkenal dengan ketekunan dalam menuntut ilmu, penegak sunnah, penegak kebenaran dan imam besar dalam bidang fekah. Beliau banyak meninggalkan kata-kata nasihat yang boleh dijadikan panduan kepada para pelajar. Antaranya ialah :

1. Imam al-Syafie pernah bersyair:

Aku mengadukan kepada Waki’ (guru beliau) tentang buruknya hafalan
Maka beliau membimbingku untuk meninggalkan perbuatan maksiat
Dan berkata, ‘Ketahuilah bahwa ilmu adalah cahaya
Dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat’

2.Beliau Berkata :

Barangsiapa ingin agar Allah membukakan hatinya atau meneranginya, maka dia harus meninggalkan pembicaraan yang tidak bermanfaat, meninggalkan dosa-dosa, menghindari perbuatan-perbuatan maksiat dan menyembunyikan amalan yang dikerjakan antara dia dan Allah. Jika dia mengerjakan hal tersebut, maka Allah akan membukakan ilmu baginya yang akan menyibukkan dia dari yang lainnya. Sesungguhnya dalam kematian terdapat perkara yang menyibukkan.”

Antara pengajaran yang boleh diambil daripada nasihat Imam al-Syafie ialah :

1. Menghindari maksiat kerana maksiat merupakan hijab atau penghalang untuk mendapat ilmu. Hati yang dicemari dengan dosa tidak akan dapat menyimpan ilmu yang bermanfaat.

2. Meninggalkan percakapan atau aktiviti-aktiviti yang sia-sia. Sesungguhnya masa itu amat berharga bagi seorang pelajar.

3. Melakukan amalan-alaman sunat secara tersembunyi dan tidak diketahui oleh sesiapapun. Ini antara cara untuk ikhlas dalam beramal soleh.

4. Orang yang mendapat bimbingan Allah sentiasa menghabiskan masanya dengan ilmu dan amalan yang berfaedah untuk dunia atau akhiratnya.

5. Orang yang berilmu juga hendaklah selalu mengingati mati kerana mati itu akan menyibukkan seseorang itu dengan perkara yang bermanfaat untuk kehidupannya selepas mati.

No comments:

Post a Comment