 
 Di dalam kitab Sair as-Salikin oleh al-‘Allamah al-‘Arifbillah asy-Syeikh ‘Abdus Shomad al-Falimbani رحمه الله, pengarang menyebut: 
فصل في أسرار الصوم وشروطه الباطن
Ini Satu Fashal Pada Menyatakan Rahsia Puasa Dan Menyatakan Segala Syaratnya Yang Bathin
Ketahui olehmu, hai orang yang menjalani jalan akhirat dan jalan kepada Allah Ta’ala, bahwa adalah bagi puasa itu 3 darjat:
Darjat Pertama  - Puasa orang yang awwam yakni puasa kebanyakkan manusia yaitu  menegahkan ia daripada makan dan minum dan jima’ [bersetubuh] dan  menahan daripada segala yang membatalkan puasanya seperti yang tersebut  pada fashal yang lalu
Darjat Kedua -  Puasa orang yang khawwas iaitu puasa orang yang sholihin dan orang yang  muttaqin iaitu menegahkan segala yang tersebut daripada yang pertama  itu [seperti diatas] dan menegahkan pula akan segala anggotanya daripada  berbuat ma’siat dan daripada berbuat yang sia-sia yang tiada memberi  manfaat kepada akhirat dan hasil kesempunaan puasa mereka itu dengan 7  perkara:
(Pertama)  memejamkan kedua matanya dan menegahkan keduanya itu daripada melihat  kepada suatu yang mubah yang membimbangkan hatinya dari dhikruLlah  Ta’ala dan daripada ingat kepada Allah. Sabda [Nabi] صلى الله عليه وآله وسلم:
النظر سهم مسموم من سهام إبليس لعنه الله، فمن تركه خوفا من الله آتاه الله إيمانا يجد حلاوته في قلبه – رواه الحاكم، صحيح (العراقي)  
 
Ertinya:  Melihat dengan syahwat itu iaitu satu panah yang dibubuh racun daripada  beberapa panah iblis, maka barangsiapa meninggalkan melihat itu kerana  takut akan Allah Ta’ala, nescaya memberi akan dia oleh Allah Ta’ala akan  iman yang mendapat akan manis iman itu di dalam hatinya.
Dan lagi sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:
خمس يفطرن الصائم، الكذب، والغيبة،  
  والنميمة واليمين الكاذبة والنظر بشهوة – رواه الأزدي، ضعيف (العراقي) 
Ertinya:  5 perkara yang membatalkan (pahala) puasa: (pertama) berdusta; (kedua)  mengumpat; (ketiga) mengadu-ngadu akan orang; (keempat) bersumpah dengan  dusta; (kelima) melihat akan sesuatu dengan syahwatnya, yakni dengan  ingin.
(Kedua) memelihara lidah:
- daripada perkataan yang haram dan 
- daripada perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam akhirat dan 
- memeliharakan pula akan lidah daripada berdusta dan 
- daripada mengumpat akan orang dan 
- daripada mengadu-ngadu akan orang dan 
- memelihara pula akan dia daripada segala perkataan yang keji-keji dan 
- memelihara pula akan dia daripada  berbantah-bantah dan berkelahi dengan orang dan 
- memelihara daripada memaki orang.
Dan sayogianya hendaklah orang yang puasa itu
- melazimkan diam dan 
- masyghul [sibuk] ia dengan membanyakkan dhikrullah Ta’ala dan 
- membanyakkan membaca al-Quran. 
Dan kata Mujahid رحمه الله تعالى
خصلتان يفسدان الصيام الغيبة والكذب
Ertinya: 2 perkara membinasakan ia akan puasa: (pertama) mengumpat-umpat akan orang dan(dua) berdusta.
Dan sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:
إنما الصوم جنة، فإذا كان أحدكم صائما فلايرفث ولايجهل، وإن امرؤقاتله أو شاتمه فليقل إني صائم، إني صائم
Ertinya:  Hanyasanya puasa itu perisai. Maka apabila ada seorang kamu puasa, maka  jangan mengerjakan suatu yang sia-sia dan jangan berbuat akan perbuatan  orang yang jahil. Dan jika ada seorang hendak membunuh akan dia atau  memaki akan dia maka hendaklah ia berkata bahwasanya aku puasa,  bahwasanya aku puasa.  (Hadits Muttafaqun ‘alaih). Maka jangan dilawan  akan orang itu.
(Ketiga) sayogia  bagi orang yang puasa itu memeliharakan telinganya daripada mendengar  perkataan yang haram dan perkataan yang makruh dan memeliharakan  telinganya daripada mendengar perkataan yang sia-sia yang tiada memberi  manfaat di dalam akhirat.
Dan sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:
المغتاب والمستمع شريكان في الإثم
Ertinya: Orang yang mengumpat akan orang dan orang yang mendengar akan dia itu bersekutu keduanya itu pada berdosa (Hadits riwayat ath-Thabrani, dhaif - al-‘Iraqi)
(Keempat) seyogianya  bagi orang yang puasa itu memeliharakan tangannya dan kakinya daripada  segala yang diharamkan dan segala makruh dan segala yang sia-sia, tiada  memberi manfaat di dalam akhirat.
(Kelima)  memeliharakan perut pada ketika waktu berbuka itu daripada memakan  makanan yang haram atau memakan yang syubhat. Maka tiada faedah bagi  puasa, iaitu meninggalkan daripada makan yang halal kemudian maka  berbuka dengan makanan yang haram. Maka adalah misal orang yang puasa  itu seperti misal orang yang berbuat mahligai pada hal ia merobohkan  negeri kerana makanan yang halal itu memberi mudharat ia dengan memakan  banyak akan dia dan tiada memberi mudharat ia dengan makan sedikitnya.  Dan puasa itu mensedikitkan makan yang halal, iaitu ubat yang memberi  manfaat bagi hati dan membanyakkan akan dia itu membinasakan akan hati  dan memakan yang haram itu membinasakan agama. Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:
كم صائم ليس له من صومه إلا الجوع والعطش
Ertinya: Beberapa daripada orang yang puasa padah al tiada baginya daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga jua.
Maka  kata ulama [dalam menjelaskan maksud hadits diatas] orang itu ialah  orang yang berbuka dengan memakan yang haram. Dan kata setengah ulama,  iaitu menahan daripada memakan yang halal dan berbuka dengan daging  manusia dengan mengumpat-umpat akan orang dan mengumpat itu haram. Dan  kata setengah ulama iaitu orang yang tiada memelihara akan segala  anggota daripada yang haram yang membawa kepada dosa.
(Keenam)  seyogianya bahwa jangan membanyakkan pada ketika berbuka itu dengan  memakan yang halal sekira-kira memenuh perutnya, kerana sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم:
ماملأابن آدم وعاء شرا من بطنه
Ertinya: Tiada memenuh oleh anak Adam akan suatu tempat yang terlebih jahat daripada memenuh perutnya dengan memakan yang halal.
Ini  kerana maksud dengan puasa itu iaitu hendak mengurangkan makan supaya  dhoif syahwat nafsunya dan syahwat syaitannya, maka jika dihimpunkan  makanan yang pagi-pagi dan makanan yang petang-petang itu dengan sekali  maka pada ketika berbuka puasa itu, maka tiada faedah puasanya itu. Jadi  tiada manfaat puasanya itu melainkan dengan sedikit daripada memakan  yang halal kerana mengurangkan makan itu meringankan tubuh pada berbuat  ‘ibadat dan berbuat sembahyang tahajjud pada malam hari dan merajinkan  mengerjakan wiridnya dan dhikirnya hingga terang hatinya.
(Ketujuh)  sayogia bahwa adalah hatinya kemudian daripada berbuka itu  berulang-ulang antara khauf dan raja’ yankni berulang-ulang antara takut  akan Allah Ta’ala dan antara harap akan Allah Ta’ala kerana tiada  diketahui adakah diterima akan puasanya itu, maka iaitu daripada orang  yang muqarrabin atau ditolongkan akan puasa itu atasnya, maka iaitu  daripada orang yang dimurkai Allah Ta’ala. Dan seyogianya ia  menghadirkan yang demikian itu pada ketika kemudian daripada tiap-tiap  ‘ibadat yang lain daripada puasa itu. والله أعلم

Darjah ketiga -  Puasa orang khawwasul khawwas iaitu puasa orang yang muqarrabin yang  ‘arifin iaitu menahan hati daripada mencita-citakan dunia dan memikirkan  akan dia dan mengosongkan rahsia yang di dalam hati [sirr] daripada  barang yang lain daripada Allah Ta’ala. Dan sentiasa hatinya itu syuhud  kepada Allah Ta’ala dan batal puasanya itu dengan memikirkan barang yang  lain daripada Allah Ta’ala dan yang lain lain daripada negeri akhirat.  Demikian lagi batal puasa itu dengan memikir akan pekerjaan dunia,  melainkan jika ada dunia itu membawa kepada manfaat akhiratdan jadi  bekal baginya di dalam akhirat, maka iaitu tiada dinamakan dunia. Kerana  inilah kata ulama ahlul bathin:
من تحركت همته بالتصرف في نهاره لتدبر ما يفطر عليه كتبت عليه خطيئة
Ertinya:  Barangsiapa bergerak cita-citanya dengan berbuat di dalam harinya itu  kerana membicarakan sesuatu yang akan dimakannya pada ketika berbukanya  itu, nescaya disurat atasnya akan dosa.
Dan  yang demikian itu kerana kurang percaya dengan anugerah Allah Ta’ala  dan kemurahanNya pada memberi rezqi akan dia dan kurang yaqin ia dengan  rezqinya yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala.
Dan  darjat puasa yang ketiga iaitu martabat anbiya’ dan orang-orang  siddiqin dan orang-orang muqarrabin yang ‘arifin, kerana cita-cita hati  mereka itu semata-mata berhadap kepada Allah Ta’ala dan berpaling hati  mereka itu daripada segala yang lain daripada Allah Ta’ala dan telah  masuk mereka itu di dalam makna firman Allah:
Ertinya:  Ucap olehmu akan Allah Ta’ala kemudian maka tinggalkan olehmu akan  manusia di dalam pekerjaan mereka itu pada hal bermain-main mereka itu.  (Surah al-An’am: 91)
[Petikan  dari kitab Sair as-Salikin ila ‘Ibaadati Rabbil ‘Alamin, tahqiq  al-Fadhil Ustaz Abu ‘Ali Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi  al-Maliki, edisi jawi, halaman 414 – 419]
Usahakanlah paling kurang puasa peringkat kedua. Semoga kita memperolehinya dengan rahmat dariNYA.